Ada yang mencari ketenangan ini di gunung ganang, ada yang mencarinya di tepian pantai, ada yang cuba mendapatkannya pada kala mentari terbenam. Ada yang mencarinya pada makanan yang sedap-sedap, ada yang cuba mengwujudkannya dengan perkumpulan keluarga, ada yang cuba memperolehinya pada sitkom dan rancangan lawak jenaka.
Tetapi apakah kita benar-benar tenang? Adakah jiwa kita benar-benar puas?
Kita mungkin rasa bahagia dan puas sebentar. Tetapi selepas kita turun dari gunung, selepas kita beredar dari pantai, selepas matahari benar-benar terbenam, selepas makanan bertukar menjadi najis, selepas keluarga bersurai, selepas sitkom tamat, bagaimana?
Muhasabah.
Saya sentiasa berpegang kepada kata-kata:
“Kalau hendak bahagia, dekatilah Pemilik Kebahagiaan.”
Ketenangan dan Kebahagiaan Adalah Milik Allah SWT
Apa yang sepatutnya kita terima sebagai hakikat ialah ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar itu tidak wujud pada makhluk-makhluk Allah SWT. Kerana mereka semua tidak benar-benar memiliki kebahagiaan dan ketenangan. Mereka bukan pemiliknya, bukan penciptanya.
Justeru kita kembali kepada pemilik alam semesta, langit dan bumi, serta segala apa yang berada antara keduanya. Baik yang terlihat, juga yang tidak terlihat. Yakni Allah SWT.
Allah SWT lah yang memiliki ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya. Dia yang menciptakan ketenangan dan kebahagiaan. Dialah yang berkuasa dalam memberikannya kepada hamba-hambaNya yang dikehendaki atau menariknya semula dan menggantikannya pula dengan tangis serta duka.
Allah SWT berfirman:
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan.” Surah An-Najm ayat 43-44.
Kita pula sebagai hambaNya, hendaklah bergerak ke arahNya untuk mendapatkan kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar ini. Hanya pada Dia sahajalah wujudnya ketenangan yang tertinggi.
Dialah yang mencampakkan ketenangan pada Musa saat tersepit antara Firaun dan Laut Merah, Dialah juga yang memberikan ketenangan kepada Ibrahim saat nabinya itu dilemparkan ke dalam api, Dia jugalah yang memberikan ketenangan kepada Yunus saat utusannya itu berada di dalam perut ikan nun, Dia yang sama jugalah yang memberikan ketenangan kepada utusan terakhirnya, Muhammad SAW, saat Rasulullah SAW diburu oleh kafir quraisy dan bersembunyi di gua tsur.
Bila kita mendapat ketenangan dari Allah SWT, kita bukanlah tidak langsung merasa gundah atau risau. Sebagai manusia, kita tetap akan merasakannya.
Namun perasaan gundah dan risau itu akan segera terbasmi dengan keimanan, dek kerana kita meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah SWT. Yang tinggal pada diri kita adalah usaha dan terus berusaha untuk menyahkan asbab kepada berlakunya kegundahan dan kerisauan itu.
Gundah dan risau, serabut dan tekanan, tidak akan melemahkan kita.
Kita akan mampu untuk terus bergerak ke hadapan dalam apa situasi sekalipun.
Kita tidak akan sesekali berputus asa.
Ya, itulah impak ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar.
Merapat Dengan Allah SWT
Justeru hendak mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar daripada Allah SWT, tidaklah kita boleh bersikap dengan sikap orang-orang yang tidak mahukan ketenangan dan kebahagiaan sebenar.
Kita perlu pergi merapat kepada Allah SWT. Menjadi hambaNya yang sebenar-benar hamba. Tunduk dan patuh kepada perintahNya, dan berusaha bersungguh-sungguh dalam menjauhi laranganNya.
Allah SWt berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Ar-Ra’d ayat 27-28.
Menariknya di dalam Islam, dosa itu diibaratkan sebagai bintik hitam yang bakal melekat pada hati. Boleh dikatakan bahawa mereka yang melazimi dosa, jiwa mereka akan sukar untuk tenang dan tenteram. Kerana mereka semakin jauh dari sumber kebahagiaan dan ketenangan itu sendiri, yakni Allah SWT.
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” Hadith riwayat Al-Baihaqi.
Kita sendiri, apabila kita semakin menjauh dari Allah SWT, saat kita memerlukan tempat berpaut yang utuh, tempat mengadu yang terbaik, kita akan rasa kehilangan walau sebenarnya Allah itu dekat. Ini kerana dek dosa-dosa kita, hubungan kita dengan Allah SWT telah terputus. Ini antara faktor kepada keserabutan jiwa dan tidak tenangnya hati.
Apa yang perlu kita lakukan ialah menambah baik hubungan kita dengan pemilik kebahagiaan.
Perbanyakkan amal kebaikan. Dan kita maklum bahawa amal kebaikan menghapuskan dosa-dosa. Boleh dikatakan, amal kebaikan akan mencuci jiwa kita, lantas memurnikan semula hubungan kita dengan Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” Surah Hud ayat 114.
Kadang Kita Terlupa Akan Hakikat Ini
Kadang dalam kesibukan kita mengharungi kehidupan, kita tidak sedar yang kita telah semakin jauh dari Allah SWT. Kita sudah mula kurang berdoa, kita sudah mula tidak menjaga solat, kita mungkin sudah mula terjebak dengan perkara yang Allah murka. Macam-macam.
Itu semua faktor utama keserabutan jiwa.
Dan dek kerana keserabutan tadi, kita mula terlupa bahawa pemilik kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar adalah Allah SWT.
Ada yang sedar akan perkara ini, yakni dia tahu dan faham bahawa kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar itu hanyalah milik Allah SWT. Tetapi keegoan menewaskan dirinya, lantas dia tidak pergi kepada Allah SWT. Dia pergi kepada makhluk-makhlukNya.
Ini sekadar remedi yang sementara.
Lama kelamaan orang seperti ini akan terasa lelah dengan kebahagiaan dan ketenangan sementara yang dikecapinya. Jika ketenangan itu dirasakan wujud pada gunung-ganang, apakah kita akan perlu sentiasa naik gunung, atau terus sahaja tinggal di gunung? Pasti sukar kehidupan yang sedemikian bukan?
Sedang kita juga memerlukan ketenangan di pejabat, di rumah, atau pendek kata dalam seluruh kehidupan kita!
Maha Suci Allah SWT yang mengwujudkan ‘checkpoint’ buat kita untuk senantiasa bersamaNya, yakni dengan solat lima waktu, dan memberikan pula kita instrumen-instrumen pergantungan kepadaNya seperti doa serta amal-amal kebaikan seperti senyuman, sedekah. Agar ketenangan itu senantiasa diberikan kepada kita, bila-bila masa, di mana jua kita berada.
Bila hubungan dengan Allah sudah erat, kita sentiasa merasakan kewujudan Allah SWT di sisi kita, kita akan mula merasa tenang dan tenteram. Dari tenang dan tenteram itu muncul ketabahan, kecekalan, sikap tidak berputus asa. Membawa kepada kehidupan yang lebih bermanfaat dan baik, dengan izinNya.
Muhasabah!

No comments:
Post a Comment